PENGENALAN Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat

PENGENALAN
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), obesiti ialah kegemukan kerana terdapatnya lemak yang berlebihan. Manakala menurut satu lagi sumber iaitu buku World Health Statistics (2010), obesiti adalah berat yang melebihi 20% daripada berat ideal seseorang. Dalam erti kata lain, obesiti merujuk kepada masalah lemak yang berlebihan di dalam badan. Ia dianggap sebagai satu penyakit apabila tisu-tisu lemak menjadi keterlaluan dan akan memburukkan lagi keadaan apabila masalah obesiti ini boleh menyebabkan gangguan dan mencederakan organ-organ badan dan seterusnya boleh menyebabkan masalah kesihatan yang serius seperti penyakit kardiovaskular, strok, tekanan darah tinggi atau diabetes dan lain-lain penyakit berbahaya. Kajian ada menunjukkan bahawa kadar obesiti di Malaysia kini berada di dalam tahap yang membimbangkan. Kajian di kalangan kanak-kanak 6 – 12 tahun di Malaysia menunjukkan peningkatan masalah berlebihan berat badan daripada 11.0% kepada 12.8% dan obesiti daripada 9.7% kepada 13.7%, masing-masing pada tahun 2002 dan 2008 (Akademi Sains Malaysia, 2013). Terdapat beberapa faktor yang dipercayai menjadi punca kepada masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak sekolah rendah.

FAKTOR-FAKTOR YANG MENYEBABKAN OBESITI DALAM KALANGAN KANAK-KANAK SEKOLAH RENDAH
Aspek Baka
Berdasarkan kepada penyelidikan yang dibuat di Amerika Syarikat oleh Scherer (2011), membuktikan bahawa anak-anak dari keturunan ibu bapa yang bertubuh normal mempunyai 10% peluang untuk menjadi gemuk. Peluang itu akan bertambah menjadi 40% – 50% sekiranya salah seorang sama ada ibu atau bapa mengalami masalah berat badan dan seterusnya akan meningkat kepada 70% – 80% jika kedua- duanya adalah dari golongan obes. Kegemukan ini boleh diturunkan dari satu generasi kepada generasi berikutnya di dalam sesebuah keluarga.
Buktinya, sering kali dapat dilihat ibu dan bapa yang gemuk lebih cenderung untuk mendapat anak yang gemuk juga. Hal ini demikian kerana pada ketika ibu yang obesiti sedang hamil, unsur sel lemak yang berjumlah besar dan melebihi ukuran normal, secara automatik diturunkan kepada bayi sewaktu dalam kandungan. Maka tidak hairanlah apabila bayi lahir, unsur lemak tubuh yang relatif sama besar akan dimiliki.

We Will Write a Custom Essay Specifically
For You For Only $13.90/page!


order now

Aspek baka juga dapat menyebabkan obesiti kerana tabiat makan berlebihan yang diturunkan daripada ibu atau ayah diwarisi oleh anak-anak. Secara tidak langsung, berat badan seorang anak akan bertambah dari semasa ke semasa kerana cenderung untuk makan melebihi tenaga yang digunakan dan diperlukan dalam seharian. Walaubagaimanapun, kebanyakan punca obesiti adalah kerana faktor luaran seperti pemakanan yang tidak seimbang dan gaya hidup yang tidak sihat kerana tabiat seperti gemar makan berlebihan dapat dikawal dan diubah.

Aspek Persekitaran
Faktor persekitaran ternyata turut menyumbang kepada gejala obesiti ini. Perkara ini dapat mempengaruhi seseorang kanak-kanak itu untuk menjadi gemuk. Jika dilihat, apabila seorang kanak-kanak itu dibesarkan di dalam persekitaran yang menganggap gemuk sebagai satu simbol kemakmuran dan keindahan, maka tidak mustahil kanak-kanak tersebut cenderung untuk menjadi gemuk. Selagi pandangan tersebut tidak dipengaruhi oleh faktor luaran, maka anak-anak yang obesiti ini tidak akan mengalami masalah-masalah psikologi berkaitan dengan kegemukan.
Selain itu, cara hidup pelajar-pelajar hari ini yang terlalu senang dan boleh dikatakan ‘membosankan’. Perbezaan yang ketara yang dapat digambarkan adalah berdasarkan hari ini dan hari semalam. Kenangkan kembali cara hidup atuk nenek mahupun ibu bapa pada dekad yang lepas, kehidupan yang penuh dengan erti keseronokan sebenar sebagai seorang kanak-kanak. Hari ini kemudahan teknologi contohnya permainan komputer, internet, astro, menyebabkan kanak-kanak lebih selesa berada di rumah. Segala permainan dan hiburan yang ada seakan-akan menjadikan anak-anak statik di satu tempat sahaja. Tiada pergerakan aktif yang dapat dilakukan mereka. Jika dahulu, tiada masalah obesiti diperkatakan dikalangan kanak-kanak. Ini kerana pada ketika itu, kanak-kanak sibuk bermain permainan yang bukan sahaja memerlukan pergerakan fizikal yang aktif malah bercampur gaul dengan rakan-rakan, berfikir mencambah minda kreatif dan bergerak aktif dimana kebanyakkan aktiviti yang dilakukan adalah selepas waktu sekolah mahupun sewaktu cuti sekolah
Kini, kanak-kanak banyak disogokkan dengan pelbagai jenis iklan makanan yang tidak sihat. Keadaan persekitaran kanak-kanak yang dipenuhi dengan pelbagai jenis makanan tidak berkhasiat juga semakin bersepah-sepah dimana-mana sahaja membolehkan mereka untuk mendapatkan makanan tersebut dengan mudah.

KESAN OBESITI BERDASARKAN TEORI PERKEMBANGAN KANAK-KANAK TERHADAP BEBERAPA ASPEK
Aspek Perkembangan Fizikal
Menurut Woolfolk & Margetts (2007), perkembangan fizikal merujuk kepada perubahan saiz fizikal, kadar pertumbuhan bahagian-bahagian badan, fungsi anggota-anggota badan dan susuk badan manusia. Semasa pembesaran, semestinya kanak-kanak akan mengalami perubahan dalam ketinggian, berat badan, menjadi lebih kuat dan dapat melibatkan diri dalam kegiatan fizikal yang lebih kompleks.
Teori perkembangan fizikal kanak-kanak menurut Robert Havighurst (2000), prinsip asas dalam perkembangan fizikal bermula dari kepala dan berunsur ke kaki. Contohnya, kanak-kanak dapat mengawal kepalanya terlebih dahulu kemudian diikuti dengan tangan dan kaki. Seterusnya, arah perkembangan berlaku iaitu daripada tengah badan dan berterusan ke luar. Contohnya, seorang bayi selepas kelahiran akan cuba untuk mencapai objek yang dilihatnya tetapi gagal namun setelah beberapa bulan, bayi boleh menggunakan kedua-dua belah tangannya untuk menggenggam objek dan seterusnya bayi dapat memegang objek menggunakan jarinya kerana ototnya sudah berkembang. Kebolehan bayi akan bertambah jelas dan spesifik selepas itu. Sebagai contoh, apabila bayi terhantuk, mereka akan menangis kuat. Selepas beberapa bulan, jika insiden yang sama berulang, mereka masih akan menangis dengan kuat namun mereka sudah boleh menunjuk bahagian badan yang sakit kerana terhantuk.
Sekiranya kanak-kanak menghadapi masalah obesiti, perkembangan fizikal kanak-kanak tersebut semestinya akan terganggu. Hal ini adalah kerana, saiz tubuh badan kanak-kanak tersebut akan membesar melebihi normal jika menghadapi masalah obesiti. Sebagai contoh, pada peringkat awal kanak-kanak iaitu pada umur 2 hingga 6 tahun, kanak-kanak normal akan semakin aktif dalam mengunakan kaki dan tangan. Jika kanak-kanak mengalami obesiti pada peringkat umur ini, semestinya penggunaan kaki dan tangan akan kurang kerana kanak-kanak obesiti lebih cenderung untuk tidak bergerak dan kekal statik.

Pada peringkat umur 6 hingga 12 tahun pula, penyelerasan motor dan kawalan tubuh badan kanak-kanak yang bersaiz normal akan bertambah baik. Bagi kanak-kanak yang menghadapi masalah obesiti, penyelerasan motor dan kawalan tubuh badan akan terganngu kerana saiz badan dan anggota badan yang lebih besar akan menyukarkan kanak-kanak untuk mengawal anggota tubuhnya sendiri. Sebagai contoh, bagi kemahiran motor halus iaitu menggunakan gunting, kanak-kanak obesiti sukar untuk menguasainya kerana jari tidak dapat dimasukkan ke dalam lubang gunting yang dibekalkan oleh tenaga pengajar kepada kumpulan kanak-kanak yang sebaya.

Aspek Perkembangan Sosioemosi
Sosioemosi merujuk kepada keupayaan seseorang menjalinkan hubungan dengan orang lain. Menurut Daniel Goleman (2010), sosioemosi ialah sesuatu perasaan dan pemikiran tersendiri di bawah keadaan psikologikal dan biologikal, serta mempunyai kecenderungan yang berbeza-beza untuk bertindak. Salah satu elemen yang penting dalam perkembangan sosioemosi ialah keupayaan kendiri. Menurut Albert Bandura (1986), keupayaan kendiri merupakan keyakinan individu dalam melakukan sesuatu aktiviti tidak kira dalam apa bidang sekalipun. Perkembangan sosioemosi penting untuk menjadi individu yang dapat menyesuaikan diri, berkeupayaan dan harmonis.

Teori perkembangan sosioemosi kanak-kanak Mengikut teori Erik Erikson dalam buku Haliza Hamzah dan Joy N. Samuel (2009), menekankan kepentingan hubungan sosial dengan individu-individu di persekitaran kanak-kanak. Menurut beliau lagi, personaliti seseorang kanak-kanak dibentuk hasil daripada perkembangan psikososial ini. Dalam teori ini, Erikson memperkenalkan lapan peringkat perkembangan psikososial.

Aspek perkembangan sosioemosi berkemungkinan akan terganggu sekiranya kanak-kanak menghadapi masalah obesiti kerana umum mengetahui bahawa seseorang yang mengalami obesiti akan mempunyai emosi yang tidak, menganggap dirinya tidak menarik dan mengalami tekanan kerana tidak dapat menghadapi hidup yang normal dan aktif seperti orang lain. Ini dinyatakan dalam peringkat ketiga teori Erikson iaitu autonomi lawan keraguan di mana perkembangan kanak-kanak tertumpu pada fizikal. Sekiranya mereka berjaya, mereka akan percaya pada keupayaan diri. Jika tidak, keraguan pada keupayaan diri akan timbul.

Di samping itu, perasaan rendah diri adalah perkara biasa dalam kalangan orang yang obesitinya teruk. Markus M. (2002) pula menyatakan kesan sampingan obesiti termasuklah gangguan kesihatan mental. Hal ini adalah kerana, gangguan kesihatan mental dimulai dengan perasaan rendah diri yang melampau terlebih dahulu. Kanak-kanak yang mengalami obesiti perlu diperhatikan kerana dikhuatiri akan mengalami rasa rendah diri yang melampau kerana tidak dapat menguasai kemahiran tertentu dalam alam persekolan contohnya kemahiran menggelecek bola yang boleh menyebabkan masalah mental. Hal ini demikian kerana peringkat keempat dalam teori Erikson ialah industri lawan rasa rendah diri dimana kanak-kanak perlu menguasai kemahiran-kemahiran tertentu di alam persekolahan jika tidak, rasa rendah diri akan timbul.

RUMUSAN
Perkembangan adalah aspek perubahan yang dialami individu dan bersifat kualitatif tetapi jelas berubah melalui peredaran masa. Peringkat-peringkat perkembangan membawa perubahan yang menuju ke arah tertentu serta dijangkakan. Perkembangan dipengaruhi oleh baka dan persekitaran. Baka menentukan had perkembangan manakala persekitaran akan membantu individu mencapai tahap perkembangan yang maksimum. Perkembangan satu bahagian saling berhubung dengan bahagian yang lain iaitu wujud pertalian nyata antara kematangan jasmani dan kematangan mental. Corak perkembangan berbeza-beza di mana semua kanak-kanak mencapai titik perkembangan yang sama pada umur yang sama. Untuk membantu setiap perkembangan supaya sentiasa stabil dan meningkat mengikut aturan, pelbagai cara dan faktor yang boleh mempengaruhi perkembangan itu. Seperti faktor baka dan persekitaran amat penting dalam membentuk fizikal dan mental kanak- kanak yang baik. Perkembangan fizikal dan sosioemosi kanak-kanak sememangnya harus diberi tumpuan utama kerana kanak-kanak merupakan insan yang mudah menerima dan menginterpretasikan sesuatu perkara dengan cepat. Oleh itu, peranan ibu bapa dan pihak lain yang bertanggungjawab dalam mendidik dan melatih kanak-kanak untuk menjalani gaya hidup yang sihat amat dititikberatkan.